Monday 20 February 2012

KWSP harus dipuji


KUALA LUMPUR 20 Feb. - Pembayaran kadar dividen Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sebanyak enam peratus iaitu yang tertinggi sejak 10 tahun lepas membuktikan keupayaan pihak pengurusan entiti itu.

Menurut Penganalisis ekonomi, Mohd. Roslan Saludin, pencapaian itu boleh ditingkatkan pada masa akan datang sekiranya dikawal selia oleh kerajaan yang mengamalkan kawalan ekonomi dalam persekitaran kondusif, selain khidmat kepakaran yang ada.

"Jumlah peningkatan yang memberangsangkan memperlihatkan keupayaan KWSP mengimbangi suasana ekonomi pada masa ini dengan sasaran keuntungan yang diletakkan,'' kata beliau ketika ditemui oleh Utusan Malaysia di sini, hari ini.

KWSP semalam mengumumkan pemberian kadar dividen sebanyak enam peratus bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2011 dengan bayaran dividen sebanyak RM24.47 bilion selepas ditolak caj-caj lain.

Menurut Roslan, ketika pencarum gembira dengan kenaikan tersebut, perlu diingatkan juga bahawa Malaysia sememangnya negara bertuah kerana ekonomi tidak pernah terjejas dengan bencana alam seperti di negara-negara lain.

"Sehubungan itu, pencarum harus rasa bersyukur berada di bawah pemerintahan yang ada kini kerana berjaya mengawal iklim ekonomi negara dengan baik,'' katanya.

Sementara itu tokoh ekonomi, Tan Sri Ramon Navaratnam yang turut menyambut baik pengumuman itu berkata, sememangnya kadar dividen tersebut antara yang terbaik berbanding catatan sebelum ini.

Bagaimanapun, beliau meminta KWSP dapat menerangkan secara terperinci hasil yang didapati daripada kadar kenaikan supaya tiada pihak yang cuba menjadikan pengumuman itu sebagai isu tertentu.

Ramon juga meminta dilaksanakan proses jimat cermat dalam pemberian dividen supaya kadarnya tidak mudah jatuh dan sentiasa di paras sederhana dan terkawal.




No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...