Wednesday 28 August 2013

Nilai Nikmat Kemerdekaan Negara Menerusi Jendela Mata, Hati Yang Luas

 
 
 
KUALA LUMPUR 28 Ogos – Erti nilai kemerdekaan sewajarnya lahir daripada hati yang ikhlas daripada setiap warganegara agar semangat patriotik tidak terus luntur sebaliknya terus kekal utuh dalam diri masing-masing.

Dan apa yang penting sambutan hari kemerdekaan yang akan disambut dalam tempoh terdekat ini perlu disahut oleh semua pihak dan sahutan tersebut bukanlah sekadar memasang bendera dan sebagainya tetapi lebih daripada itu.

Berkongsi pandangan menjelangnya tarikh kemerdekaan negara pada 31 Ogos, Sabtu ini, Pengerusi Sekretariat Pemuda BN dan 1Malaysia, Mohd Faizal Hj Ramly berkata memperingati kemerdekaan bukan sekadar negara bebas daripada penjajah tetapi apa yang penting setiap orang bertanggungjawab mengekalkan kemerdekaan negara dalam apa jua bentuk.

Sambil menyifatkan tema “Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku” sebagai kena pada masa dan ketikanya, beliau mengajak agar semua rakyat melihat dari jendela mata yang luas betapa bertuahnya hidup di dalam negara yang bukan saja berdaulat malah aman, makmur dan sentosa berbanding banyak di negara lain yang keadaannya tidak menentu.

“Jangan biarkan negara dan diri kita dijajah dalam bentuk lain pula….. Paling penting semua pihak tidak kiralah sesiapa sekalipun perlu menghayati semangat kemerdekaan yang mana negara kita hari ini telah berkembang maju dengan suasana yang penuh harmoni berpaksikan kepada acuan kita sendiri.

“Paling penting juga janganlah ada mana-mana pihak memandang sinis hari yang cukup bersejarah itu atas apa jua alasan sekali pun kerana itulah yang perlu kita junjung dan kita perlu pertahankan,” katanya kepada UMNO-Online.

Mengulas lebih lanjut beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Teluk Kemang seterusnya menambah kesatuan cukup penting serta perlu diberi keutamaan dalam usaha memastikan apa yang kita kecapi hari ini dipertahankan.

“Kita perlu ingat bagaimana perit jerih orang-orang tua terdahulu…datuk nenek moyang kita yang bersusah payah uantuk memerdekakan negara….Memusnahkan adalah lebih mudah daripada membina..

“Percayalah….Jika kita seluruh rakyat Malaysia bersatu padu, apa yang kita nikmati dan kecapi bersama ini terus berkekalan..Sama-samalah kita berdoa agar negara dan rakyat terus selamat,” katanya.

 Sumber : MediaUMNO



Larang Tanda Putera : DAP Takut Pada Kebenaran Dan Bayang-Bayang Sendiri





KUALA LUMPUR, 28 Ogos – Tindakan Kerajaan DAP Pulau Pinang hari ini mengnalang tayangan filem Tanda Putera di semua pawagam di negeri ini jelas menunjukkan sikap “double standard” mereka yang tidak beri ruang dan peluang kepada rakyat untuk menonton dan menilai filem yang diterbitkan mengenai sejarah negara.

Pengerusi Pertubuhan 4 Justice, Anuar Basiran berkata, tindakan ini sekaligus menunjukkan DAP takut pada bayang-bayang sendiri, tidak professional dan tidak mendokong prinsip kebebasan bersuara yang mereka laung-laung selama ini.

“DAP jelas takut pada kebenaran sedangkan filem Tanda Putera adalah berdasarkan sejarah dan fakta yang sememangnya berlaku di negara ini dan merupakan ‘tribute’ kepada pemimpin-pemimpin terdahulu yang membangunkan Malaysia selama ini.

“Apakah mereka lupa pada sejarah? Apakah mereka lupa pada fakta atau buat-buat lupa. Tepuk dada, tanya selera, hanya pemimpin DAP yang tahu,” ujarnya yang juga Pemangku Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sepang.

Dalam masa yang sama, kelantangan DAP melaungkan slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) hanya sebagai pemanis mulut untuk menarik perhatian rakyat kerana hakikatnya, prinsip itu tidak diamalkan sepenuhnya oleh kepimpinan parti DAP.

“DAP langsung tidak membela diri atau tidak mampu membela diri apabila ketidaktelusan dan ketidakcekapan mereka itu terbukti melalui pemilihan CEC.

“Ia juga bukti bahawa memang wujud politik wang dalam pemilihan DAP. Jadi tindakan untuk bersetuju untuk mengadakan semula pemilihan DAP juga merupakan bukti memang wujud ketidak telusan dalam pemilihan mereka.

“Sehubungan dengan itu, DAP jangan lagi berkokok dengan slogan Cekap, Akauntabiliti, Telus (CAT) atau menaja kempen seperti Bersih dan Blackout 505 untuk menyalahkan pihak SPR yang kononnya tidak telus dalam mengurus Pilihan Raya Umum, jika pemilihan parti sendiri juga tidak boleh dikira dengan tepat dan telus, di manakah letaknya maruah dan kelayakan DAP untuk mempertikai SPR,” tambahnya.

Sumber : MediaUMNO

Monday 26 August 2013

PANTUN KEMERDEKAAN




Meraut muka di awal pagi
menutup mata duduk bersila
musim merdeka datang lagi
semangat kita membara semula

Membaca mentera tangan ditepuk
hidupkan bara di dalam ketur
cintakan negara kita pupuk
pelbagai acara kita atur

Sirih pinang jadi pengeras
duit dihulur jadi habuan
kasih sayang jadikan teras
semangat luhur bela watan

Orang ramai tak kira masa
tunggu giliran di tengah laman
aman damai sejahtera sentiasa
itulah perjuangan sepanjang zaman

Salam Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku

 

Salam Malaysiaku Berdaulat, Tanah Tumpahnya Darahku.
Selamat Menyambut Ulangtahun Ke 56 Kemerdekaan Malaysia.

Selama 56 tahun negara kita membangun, mengisi kemerdekaan, rakyat hidup aman dan makmur. Perlu kita menghayati semangat dan susah payah perjuangan para pemimpin kita pada tahun2 awal kemerdekaan dahulu sehinggalah kita mencapai apa yang kita ada pada hari ini.

Justeru, marilah kita semua mensyukuri segala nikmat yang Allah SWT kurniakan kepada kita terutamanya nikmat kemerdekaan ini.

"Ya Allah Yang Maha Mendengar, aku merafakkan doa dan memohon kepada Mu agar janganlah Engkau putuskan nikmat Kemerdekaan yang Engkau telah kurniakan kepada negara dan rakyat negara kami sejak 56 tahun yang lalu. Biarlah nikmat ini berterusan dan bertambah pengisiannya sehingga tamatnya putaran dunia ini. Biar anak cucu kami dan keturunan kami kekal merdeka dan dapat menikmati rahmat Mu di negara ini dalam pemerintahan sendiri tanpa ganggu gugat, tanpa pencerobohan dari petualang, samada dari luar mahu pun dalam negara. Kurniakan kami kehidupan yg aman dan dipenuhi iman. Ameen..."

Hebat!!! Rumah Mampu Milik DAP Di Pulau Pinang Berharga RM400,000

 
 
GEORGE TOWN, 30 Jan – Projek perumahan kos rendah dan sederhana rendah oleh kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mengelirukan rakyat kerana harga yang ditawarkan adalah di luar kemampuan.

Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Teng Chang Yeow berkata unit rumah seluas 1,000 kaki persegi ditawarkan pada harga siling RM400,000 itu adalah di luar kemampuan bagi golongan berpendapatan kurang RM5,000 sebulan.

“Projek mampu milik dan perumahan rakyat oleh mana-mana kerajaan, keuntungan bukannya matlamat kerana ia bukan syarikat pemaju swasta tetapi untuk memastikan keperluan masyarakat dapat dipenuhi,” katanya.

Teng berkata demikian selepas menyampaikan insentif pelajar cemerlang PMR dan Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) kepada 387 penerima di kawasan Timur Laut, di sini hari ini.

Katanya kos pembinaan untuk rumah bertingkat adalah antara RM130 dan RM150 sekaki persegi dan tiada alasan untuk kerajaan negeri menawarkan harga siling RM400,000 bagi rumah seluas 1,000 kaki persegi.

Teng berkata terdapat margin keuntungan yang besar jika rumah mampu milik dijual pada harga siling RM400,000 dan kerajaan negeri seharusnya menawarkan harga yang lebih rendah berbanding pemaju swasta.

“Ini menunjukkan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang tiada keikhlasan dan usaha sebenar untuk membantu rakyat kerana mereka tidak mempunyai dasar perumahan. Itulah sebabnya mereka tidak boleh menentukan harga,” katanya.

Teng berkata projek perumahan itu turut akan menjarakkan lagi jurang kehidupan dan sosial kerana dibimbangi ramai penduduk di kawasan pulau akan pindah ke seberang berikutan harga siling yang dua kali ganda lebih murah.

Difahamkan harga siling RM220,000 ditawarkan untuk rumah mampu milik di Batu Kawan untuk unit rumah yang sama luas dengan kawasan di pulau.

Sumber : UMNO Online
 
 


Jadikan Tema Kemerdekaan ke 56 Sebagai Kunci Perpaduan

 


KUALA LUMPUR 26 Ogos – Tema Hari Kemerdekaan Negara ke 56 ‘Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku’  adalah suatu yang tepat pada waktunya dalam suasana selepas negara melalui pilihan raya umum yang paling sengit dalam sejarah politik tanah air sejak merdeka.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu, Azlieza Azizan berkata, semua rakyat tanpa mengira fahaman politik perlu memahami dan menghayati tema Hari Kemerdekaan Negera ke 56 dalam memastikan kesejahteraan dan kedamaian yang dinikmati selama ini terus berkekalan.

Beliau juga berharap semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama  bersama-sama berganding tangan  mempertahankan kedaulatan negara dan memerangi apa jua anasir sama dari dalam atau luar yang cuba memporak-peranda kehidupan yang dinikmati selama ini.

“Jangan pula ada di kalangan kita yang cuba mempolitikkan tema ini untuk kepentingan peribadi atau politik masing-masing, tema ini adalah suatu yang amat bersesuaian dengan suasana negara ini selepas berhadapan dengan pilihan raya umum ke 13 lalu.

“Perbalahan pendapat atau politik ketika pilihan raya lalu perlu diketepikan, dan seharusnya semua pihak bersama-sama membantu kepimpinan negara yang dipilih oleh rakyat untuk terus menerajui negara ini untuk menjadi lebih baik daripada apa yang telah kita nikmati sebelum ini.

“Cukuplah dengan apa yang telah kita lalui, marilah kita semua bersama-sama membina Negara Bangsa seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri untuk negara menuju ke sebuah negara maju pada tahun 2020 nanti, tanpa sokongan rakyat semua itu tidak akan terlaksana,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tema Hari Kemerdekaan ke 56.

Menurutnya, peristiwa di Lahad Datu yang berlaku tidak lama dahulu perlu dijadikan iktibar supaya tidak berulang lagi, menjaga kedaulatan negara bukan sahaja terletak kepada pasukan keselamatan tetapi menjadi tanggungjawab kepada semua rakyat.

“Tema ini secara tidak langsung memberi peringatan betapa pentingnya perpaduan, kita semua harus bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara daripada diceroboh oleh orang luar yang sebenarnya cemburu dengan apa yang dinikmati rakyat negara ini.

“Bagi golongan muda, jadikan sambutan hari kemerdekaan ini sebagai hari untuk kita berterima kasih kepada pejuang negara yang telah berkorban jiwa dan raga untuk memerdekakan negara, tanpa mereka semua golongan muda tidak akan dapat menikmati seperti apa yang dinikmati ketika ini.

“Sebagai orang muda, saya berbangga dan amat bersyukur, tanpa pengorbanan serta perjuangan mereka yang terdahulu sudah pasti tidak generasi muda tidak memperolehi pelbagai kemudahahan dan kemewahan jika dibandingkan dengan mereka yang seusia di negara lain,” ujarnya.

Azlieza berkata, generasi muda juga perlu melihat dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di beberapa buah negara yang masih berterusan dengan pelbagai masalah sehingga menyebabkan berlaku peperangan sesama sendiri.

Beliau berharap perpaduan yang dinikmati di negara ini terus berkekalan dan jangan pula ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan dalam apa jua perkara dengan mempolitikkanya untuk kepentingan politik demi mencapai cita-cita peribadi.

Sumber : MediaUMNO

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...