Tuesday 19 November 2013

Desak Karpal Mohon Maaf Umpama Menanti Mimpi Di Siang Hari Jadi Realiti



 
KUALA LUMPUR, 19 Nov – Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Ahmad Maslan menyifatkan bahawa desakan Pemuda Pas agar Pengerusi DAP Kebangsaan, Karpal Singh memohon maaf di atas keceluparannya membuat kenyataan berhubung parti-parti berasaskan bangsa dan agama perlu dihapuskan sebagai satu drama politik yang menarik.
 
Kata beliau, dalam sejarah politik negara memperlihatkan sikap Pengerusi DAP Kebangsaan itu yang  tidak pernah tunduk atau meminta maaf kepada sesiapa pun dan begitu  terkenal sebagai pemimpin yang mempunyai ego yang tinggi.
akhbar_karpal_dap_langkah_mayat_hudud_islam
“Saya menjangkakan sekali lagi bahawa Pas akan tertipu dengan hubungan mereka bersama DAP kerana selamanya DAP telah menyebut bahawa Malaysia sebuah negara sekular dan tidak pernah mengiktiraf Malaysia sebagai sebuah negara Islam.

“Bagi saya, hubungan Pas bersama dengan kepimpinan DAP seperti Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan juga Karpal adalah hubungan yang merugikan Pas. Saya kira, di dalamm muktamar Pas yang akan datang, sepatutnya diperbincangkan tentang tahaluf siyasi bersama DAP.

“Dan sepatutnya mereka mengambil keputusan untuk meninggalkan kerjasama mereka dengan DAP,” tegas beliau kepada UMNO-Online di sini hari ini.

Pas menurut beliau, lebih baik berdiri di atas kaki sendiri dan jika tidak, segala rasa hormat rakyat terhadap Pas akan terhakis dan pengaruh mereka akan hilang di hati rakyat.

“Saya sekali lagi meyakini bahawa amat sukar bagi Karpal Singh untuk memohon maaf dan kalau pun berlaku sekalipun, ia seumpama mimpi di siang hari yang menjadi kenyataan dan bagi saya, amat sukar sekali mimpi di siang hari untuk menjadi kenyataan,” ujarnya sinis.

Sumber -MediaUMNO

Thursday 14 November 2013

Sultan Selangor Arah Henti Guna Kalimah Allah Dalam Bible, The Herald Versi Bahasa Melayu

 

majlis_negeri_sultan_selangor_thestar


SHAH ALAM, 14 Nov -  Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah pada Khamis mengarahkan supaya penggunaan kalimah Allah di dalam ‘Bible’ dan penerbitan ‘The Herald’ versi Bahasa Melayu dihentikan serta merta.

Baginda bertitah ia bagi mengelak kekeliruan dalam kalangan umat Islam di Selangor khususnya dengan penggunaan kalimah Allah oleh penganut agama lain.

Sehubungan itu, baginda meminta rakyat Selangor supaya menghormati dan mematuhi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor serta undang-undang berhubung penggunaan kalimah Allah.


“Ini kerana kalimah Allah bagi umat Islam adalah merujuk kepada Tuhan Yang Satu (Esa) seperti yang terdapat di dalam Surah Al-Ikhlas,” titah baginda menerusi kenyataan media yang dikeluarkan Setiausaha Dewan Diraja Selangor, Hanafisah Jais di sini.

Sultan Selangor, setelah berunding dengan Dewan Diraja Selangor yang bersidang pada 11 Nov lepas, telah membuat ketetapan tegas bahawa semua rakyat negeri itu tanpa mengira agama dan keturunan perlu akur dan patuh terhadap larangan penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan beragama Islam.

Ia seperti yang diperuntukkan di dalam Jadual kepada Seksyen 9 Bahagian 1 Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Perkembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988 yang diwartakan pada 1988.

Sultan Selangor turut bertitah menasihatkan mana-mana pihak supaya tidak mengambil kesempatan untuk menjadikan isu kalimah Allah sebagai agenda politik mereka kerana kalimah Allah ialah satu kalimah suci dan membabitkan akidah umat Islam.

Baginda juga bertitah menggesa umat Islam merapatkan barisan dan bersatu padu mempertahan kesucian kalimah Allah serta menghalang usaha mana-mana anasir yang tidak bertanggungjawab menyalahguna dan menghina kalimah Allah.

“Isu yang berkaitan dengan agama tidak seharusnya dipandang ringan kerana ia boleh membawa implikasi buruk kepada keselamatan negara dan boleh menimbulkan ketegangan antara kaum di negara ini,” titah baginda.

Baginda turut berdoa supaya perpaduan dan keharmonian rakyat negara ini sentiasa terpelihara dan mereka dapat hidup dengan aman damai, menghormati antara satu sama lain dan saling bertolak ansur.

Sumber : UMNOonline
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...