Tuesday 14 February 2012

KUALA LUMPUR: Lebih 300 ulama, cendekiawan Islam dan blogger akan menyertai Himpunan Ulama, Cendekiawan Islam dan Penulis Maya Kebangsaan 2012 di Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur selama tiga hari, bermula Jumaat ini bagi membincangkan isu semasa membabitkan kepentingan umat Islam di negara ini.

Himpunan anjuran Kelab Sahabat Bina Negara (KSBN) itu juga akan membincang dan menyusun langkah kesederhanaan (wasatiyyah) Islam dalam tindakan semua pihak, selaras dengan wawasan wasatiyyah diilhamkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, yang turut dijadualkan menyampaikan ucaptama pada jam 11 pagi Ahad ini. Presiden KSBN, Mohd Khairuddin Mohammad berkata, sasaran utama himpunan itu bagi menyatupadukan dan mewujudkan kerjasama intelektual antara pihak terbabit bagi memperkasakan umat Islam di negara ini. Katanya, ia juga bertujuan mendedahkan isu penting semasa negara daripada perspektif Islam dan peranan blogger, meningkatkan kefahaman konsep wasatiyyah di kalangan semua pihak, selain mempertingkatkan pemahaman terhadap usaha transformasi 1Malaysia berdasarkan pendekatan Islam yang unggul dan memaksimumkan input dalam ruang media alternatif.

“Himpunan ini diharap mampu menggerakkan keilmuan dan tanggungjawab bersama dalam melahirkan ummah bersatu, masyarakat lebih kritis, idealistik dan konstruktif melalui pelbagai media alternatif yang begitu dekat dengan masyarakat sekarang,” katanya dalam kenyataan, di sini, semalam.

Antara ahli panel terbabit ialah Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria; profesor dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof Datuk Dr Sidek Baba; ulama muda UMNO (ILMU), Ustaz Fathul Bari Mat Jahaya; Fellow Universiti Oxford, Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin serta Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom.

Panel lain ialah Ketua Pengarah Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Datuk Nik Mustapha Nik Hassan; Pengarah Urusan Eurofine (M) Sdn Bhd, Ida Rahayu Md Noor; Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), Datuk Fuad Hassan; Ketua Pengarah Biro Tata Negara (BTN), Datuk Raja Arif Raja Ali dan Ketua Pengarang Berita Publishing Sdn Bhd, Datuk A Kadir Jasin.

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...