Tuesday 3 September 2013

Sentiasa Bersyukur, Sematkan Perasaan Cintakan Agama, Bangsa, Negara – Najib


 
 
KUALA LUMPUR, 2 Sept – Datuk Seri Najib Tun Razak berharap pelajar-pelajar yang baru mendaftar di Institut Pengajian Tinggi (IPT) semalam, agar sentiasa menyematkan perasaan cintakan agama, bangsa dan Negara serta budaya bersyukur dan berterima kasih.
 
Perdana Menteri berkata kemajuan negara yang dikecapi sekarang sejak tahun 1957 bukan dibina dengan sekelip mata, tetapi ia dibina atas pengorbanan dan usaha yang berterusan oleh kepimpinan kerajaan yang sedia ada sejak merdeka lagi.
 
“Jadi, marilah kita bersama-sama teruskan masa depan Malaysia yang lebih cemerlang,” katanya di dalam perutusannya kepada pelajar-pelajar baharu IPT 2013 di blognya www.1malaysia.com.my, hari ini.
 
Najib berkata sebagai anak muda yang berilmu, mereka menjadi harapan Negara untuk menjadi pewaris negara di masa hadapan.
 
Oleh itu, beliau dan seluruh kepimpinan negara berharap agar para pelajar baharu mengambil peluang dan kesempatan yang ada sekarang untuk mencipta kecemerlangan akademik, meningkatkan pengetahuan yang ada, memupuk budaya inovasi, kreativiti, kesukarelawan serta aspirasi universiti.
 
Sambil mengucapkan tahniah kerana berjaya menjadi warga ilmuan di menara gading, Najib turut mendoakan agar para pelajar baharu IPT ini terus mencipta kejayaan akademik di universiti, seterusnya menjadi generasi muda pewaris Negara yang boleh menjadi pengganti kepimpinan negara di masa hadapan.
 
“Saya ingin mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada ibu bapa saudara dan saudari yang semestinya menjadi orang yang paling gembira ketika ini,” katanya.
 
Kebanyakan IPT awam dan swasta tempatan semalam dibanjiri pelajar dan ibu bapa yang menghantar anak masing-masing sempena pendaftaran kemasukan pelajar baharu sesi 2013/2014.

Sumber : MediaUMNO


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...