Tuesday 3 September 2013

Kelab UMNO Luar Negara Bantu Proses Pemindahan Pelajar Malaysia Di Mesir

 
 
PUTRAJAYA, 21 Ogos  - Kelab UMNO Luar Negara (KULN) telah menubuhkan pasukan penyelamat untuk menyediakan kemudahan logistik bagi membantu proses pemindahan pelajar Malaysia keluar dari Mesir yang sedang bergolak.

Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara (KULN) Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata KULN yang mempunyai cawangan di lima bandar utama di Mesir iaitu Tanta, Damanhur, Mansurah, Kaherah dan Iskandariah akan menyediakan pengangkutan untuk membawa pelajar dari kediaman ke lapangan terbang sebelum diterbangkan ke tanah air.
 
“Selain kemudahan logistik, rescue team juga akan menyediakan keperluan-keperluan lain untuk memastikan proses membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia di Mesir berjalan dengan lancar,” katanya di sini hari ini.

Ahmad Shabery yang juga Menteri Komunikasi dan Multimedia berkata usaha KULN itu adalah sejajar dengan hasrat kerajaan untuk membawa pulang kira-kira 3,300 pelajar Malaysia di Mesir selepas kerajaan mendapati pergolakan di Negara itu semakin teruk.
 
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata urusan membawa pulang pelajar-pelajar Malaysia di Mesir dengan menggunakan pesawat komersil berikutan laporan Setiausaha Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Mohamed Thajudeen Abdul Wahab yang berada di Mesir mendapati keadaan di sana menjurus pada keadaan yang tidak menentu.

Najib berkata kerajaan akan memulakan operasi untuk membawa balik pelajar kita yang ingin kembali secara sukarela dan urusan penempahan tiket akan dilakukan bermula semalam dan penerbangan akan melalui Amman (Jordan) dan Istanbul (Turki) serta beberapa tempat lain.

Sementara itu, Pemangku Pengerusi Badan Perhubungan Negara Mesir, Habib Bakri Mamat berkata Kiosk Informasi KULN Ops Pyramid II akan dibuka di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT).

“Kiosk itu bertujuan untuk membantu ibu bapa mendapatkan maklumat penerbangan pelajar-pelajar dan perkembangan semasa di Mesir,” katanya.

Kiosk akan bertempat di kawasan balai ketibaan (Pintu 7 dan Pintu 8) KLIA dan LCCT.

Sumber : MediaUMNO


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...