Sunday 29 September 2013

Program Kerajaan BN Bantu Turunkan Kadar Kemiskinan Di Kelantan – Shahidan

 
 
KUALA LUMPUR, 26 Sept – Program pembasmian kemiskinan yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN) telah membantu menurunkan kadar kemiskinan di Kelantan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Shahidan Kassim.
 
Beliau berkata kadar kemiskinan di Kelantan sebanyak 17.8 peratus pada 2002 telah menurun kepada 2.7 peratus pada tahun lepas.
 
Penurunan ketara kadar kemiskinan di negeri itu adalah hasil program-program pembasmian kemiskinan yang dijalankan kerajaan BN, katanya pada persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini.
 
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (PAS-Kuala Terengganu) yang ingin tahu sama ada kerajaan mempunyai mekanisme untuk mengukur keberkesanan belanjawan tahunan setiap tahun untuk menaikkan taraf hidup serta menghapuskan kemiskinan di negeri-negeri tertentu di negara ini.
 
Shahidan berkata selain itu kadar kemiskinan di lima negeri lagi Berjaya dikurangkan pada tahap yang boleh dianggap luar biasa iaitu Melaka 1.8 peratus (2002) kepada 0.1 peratus (2012), Pahang 9.4 peratus (2002) kepada 1.3 peratus (2012), Sarawak 11.3 peratus (2002) kepada 2.4 peratus (2012), Terengganu 14.9 peratus (2002) kepada 1.7 peratus (2012) dan Perlis 8.9 peratus (2002) kepada 1.5 peratus (2012).
 
Shahidan berkata mulai tahun 2008, kerajaan menggunakan sistem E-kasih sebagai satu daripada mekanisme untuk mengukur dan memantau keberkesanan pembasmian kemiskinan di negara ini.
 
Melalui Jabatan Perdana Menteri (JPM), penyiasatan pendapatan isi rumah dibuat setiap 30 bulan bagi mengumpul maklumat taburan pendapatan isi rumah berdasarkan sosioekonomi untuk pengemaskinian garis pendapatan kemiskinan semasa, katanya.
 
“Sistem e-kasih diguna bagi mengintergtrasikan data garis kemiskinan tanpa mengira kaum dan strata dan dikategorikan dengan empat kategori kemiskinan iaitu Miskin Tegar, Miskin, Mudah Miskin dan Terkeluar.
 
“Berdasarkan ini, rancangan program pembasmian kemiskinan dan bajet akan disediakan kepada kementerian dan agensi yang melaksanakan program-program ini,” katanya.
 
Shahidan berkata program pembasmian kemiskinan (e-kasih) di negara ini merupakan antara program terbaik di dunia dengan pencapaian luar biasa.
 
 
Sumber : MediaUMNO


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...