KANGAR, 31 Julai – Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail
mahu pihak berkuasa bertindak tegas terhadap mereka yang sengaja melakukan
penghinaan dan provokasi terhadap Islam.
Baginda bertitah perbuatan itu merupakan pernyataan sinis yang melampau dan
ia tidak boleh diterima oleh rakyat yang waras apatah lagi mereka yang
berpendidikan terutama dalam konteks masyarakat majmuk.
“Janganlah siapa sekalipun bermain api. Jauhilah daripada berjudi dengan
sentimen agama dan kaum demi menjaga kesejahteraan dan keharmonian negara yang
kita cintai ini,” titah baginda pada majlis berbuka puasa bersama warga Allianze
University College of Medical Sciences (AUCMS) di Kompleks Budi Penyayang,
Kepala Batas, Pulau Pinang malam tadi.
Baginda mengingatkan bahawa walaupun Islam mengajar umatnya bertoleransi
namun sikap Melayu-Islam perlu sentiasa kukuh.
“Sudah tiba masanya setiap umat Islam menjana transformasi dengan melakarkan
perubahan, mewarnai persekitaran berpandukan agama Islam, bersendikan al-Quran
dan al-Sunnah, berpaksikan kepada Rukun Islam dan berteraskan Rukun Iman,” titah
baginda.
Tuanku Syed Faizuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat
Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bertitah mutakhir ini berlaku banyak kekeliruan
dan salah tafsir mengenai Islam dengan pelbagai label diberikan.
“Propaganda seperti ini jika dibenarkan berterusan mampu merosakkan nama dan
kesucian Islam selain meracuni pemikiran sehingga ‘klise’ sebegini mudah
dianggap sebagai satu kebenaran,” titah baginda lagi.
Baginda mengingatkan umat Islam supaya terus membela serta mempertahankan
kesucian agama di samping mengukuhkan syiarnya demi kelangsungan tamadun.
Berangkat sama ke majlis itu ialah Raja Puan Muda Perlis Tuanku Hajah
Lailatul Shahreen Akashah Khalil yang juga Canselor AUCMS manakala yang hadir
sama ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas.
Sumber : UMNO Online