Wednesday 24 August 2011

Anak Malaysia Pewaris Negara




Sekolah tempat terbaik merealisasikan Gagasan 1Malaysia. Sebagai institusi mempunyai murid pelbagai kaum dan budaya, sekolah menawarkan medium strategik dalam mewujudkan kesatuan bangsa Malaysia.

Sekolah juga tempat sesuai untuk menjayakan budaya cemerlang, ketabahan, rendah hati, penerimaan, kesetiaan, meritokrasi, pendidikan dan integriti. Nilai ini semua adalah amalan baik yang dilaksanakan masyarakat dan budaya bangsa Malaysia merangkumi kaum dan etnik sejak sekian lama.

Teras gagasan 1Malaysia bertepatan apa diingini dari setiap murid. Sebagai anak Malaysia dan pewaris negara, murid memainkan peranan penting menuntut ilmu di samping terbabit pelbagai aktiviti dalam bilik darjah mahupun gerak kerja luar bilik darjah.

Segala aktiviti positif sekolah adalah usaha membentuk personaliti, ketrampilan dan jati diri sebagai anak Malaysia. Peranan ibu bapa, guru, masyarakat bahkan negara dalam pembentukan murid amat ditagih.
Profesion perguruan adalah profesion mulia. Guru di negara ini banyak berjasa meningkatkan tahap profesionalisme perguruan negara. Dalam konteks menjayakan gagasan IMalaysia dan rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, pendidik harus menjiwai profesion perguruan.

Guru perlu menggembleng tenaga dan kepakaran untuk menggilap bakat serta memperkukuhkan potensi diri murid supaya berjaya dalam bidang diceburi. Peranan pendidik juga untuk mengimbangi perkembangan intelek, rohani, jasmani dan emosi.

Sebagai orang yang paling hampir dengan murid, guru perlu memberi dedikasi, komitmen dan keprihatinan kepada semua anak didik. Guru selaku orang yang mempunyai pengetahuan dan pengalaman dapat mengenal pasti potensi dan bakat dalam setiap anak murid.
PROF MADYA DATIN DR SAPORA SIPON,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)


Sumber : Berita Harian 3 Januari 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...