Monday 26 August 2013

Jadikan Tema Kemerdekaan ke 56 Sebagai Kunci Perpaduan

 


KUALA LUMPUR 26 Ogos – Tema Hari Kemerdekaan Negara ke 56 ‘Malaysiaku Berdaulat : Tanah Tumpahnya Darahku’  adalah suatu yang tepat pada waktunya dalam suasana selepas negara melalui pilihan raya umum yang paling sengit dalam sejarah politik tanah air sejak merdeka.

Ketua Puteri UMNO Bahagian Tangga Batu, Azlieza Azizan berkata, semua rakyat tanpa mengira fahaman politik perlu memahami dan menghayati tema Hari Kemerdekaan Negera ke 56 dalam memastikan kesejahteraan dan kedamaian yang dinikmati selama ini terus berkekalan.

Beliau juga berharap semua rakyat tanpa mengira kaum dan agama  bersama-sama berganding tangan  mempertahankan kedaulatan negara dan memerangi apa jua anasir sama dari dalam atau luar yang cuba memporak-peranda kehidupan yang dinikmati selama ini.

“Jangan pula ada di kalangan kita yang cuba mempolitikkan tema ini untuk kepentingan peribadi atau politik masing-masing, tema ini adalah suatu yang amat bersesuaian dengan suasana negara ini selepas berhadapan dengan pilihan raya umum ke 13 lalu.

“Perbalahan pendapat atau politik ketika pilihan raya lalu perlu diketepikan, dan seharusnya semua pihak bersama-sama membantu kepimpinan negara yang dipilih oleh rakyat untuk terus menerajui negara ini untuk menjadi lebih baik daripada apa yang telah kita nikmati sebelum ini.

“Cukuplah dengan apa yang telah kita lalui, marilah kita semua bersama-sama membina Negara Bangsa seperti yang disarankan oleh Perdana Menteri untuk negara menuju ke sebuah negara maju pada tahun 2020 nanti, tanpa sokongan rakyat semua itu tidak akan terlaksana,” katanya ketika diminta mengulas mengenai tema Hari Kemerdekaan ke 56.

Menurutnya, peristiwa di Lahad Datu yang berlaku tidak lama dahulu perlu dijadikan iktibar supaya tidak berulang lagi, menjaga kedaulatan negara bukan sahaja terletak kepada pasukan keselamatan tetapi menjadi tanggungjawab kepada semua rakyat.

“Tema ini secara tidak langsung memberi peringatan betapa pentingnya perpaduan, kita semua harus bersatu padu mempertahankan kedaulatan negara daripada diceroboh oleh orang luar yang sebenarnya cemburu dengan apa yang dinikmati rakyat negara ini.

“Bagi golongan muda, jadikan sambutan hari kemerdekaan ini sebagai hari untuk kita berterima kasih kepada pejuang negara yang telah berkorban jiwa dan raga untuk memerdekakan negara, tanpa mereka semua golongan muda tidak akan dapat menikmati seperti apa yang dinikmati ketika ini.

“Sebagai orang muda, saya berbangga dan amat bersyukur, tanpa pengorbanan serta perjuangan mereka yang terdahulu sudah pasti tidak generasi muda tidak memperolehi pelbagai kemudahahan dan kemewahan jika dibandingkan dengan mereka yang seusia di negara lain,” ujarnya.

Azlieza berkata, generasi muda juga perlu melihat dan mengambil iktibar dengan apa yang berlaku di beberapa buah negara yang masih berterusan dengan pelbagai masalah sehingga menyebabkan berlaku peperangan sesama sendiri.

Beliau berharap perpaduan yang dinikmati di negara ini terus berkekalan dan jangan pula ada pihak yang sengaja mengambil kesempatan dalam apa jua perkara dengan mempolitikkanya untuk kepentingan politik demi mencapai cita-cita peribadi.

Sumber : MediaUMNO


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...