Wednesday 31 July 2013

Tugas Saya Berakhir Lewat Malam, Tidak Setakat Waktu Pejabat -MB Perlis


 
KANGAR, 20 Julai (Bernama) -- Menteri Besar Perlis, Azlan Man berkata tugas beliau berakhir hingga lewat malam dan tidak berakhir setakat waktu pejabat sahaja.

"Saya masuk kerja sebelah pagi dan selepas selesai tugas pejabat, saya ada tugas di luar pejabat termasuk bertemu masyarakat, menghadiri majlis tertentu dan turut menziarahi kematian," katanya.

Sehubungan itu beliau kecewa dengan tuduhan bahawa beliau hanya berkhidmat mengikut waktu pejabat dari pukul 8 pagi hingga 5 petang.

Perkara ini berbangkit mungkin disebabkan salah tafsir orang ramai terhadap kenyataannya kepada ketua-ketua jabatan sebelum ini, yang kemudian disebar sehingga mempunyai unsur fitnah, katanya kepada pemberita semasa menghadiri majlis berbuka puasa anjuran Dewan Perniagaan Melayu Perlis di sini Jumaat malam.

Azlan menjelaskan bahawa dalam pertemuan itu, beliau meminta penjawat awam supaya komited terhadap tugas semasa bekerja dari pukul 8 pagi sehingga 5 petang, sebelum mereka pulang.

Beliau turut kesal kerana dituduh lokek dalam mengeluarkan peruntukan bagi projek pembangunan kerajaan negeri.

"Saya memang kedekut jika diminta peruntukan bagi kegiatan yang hanya membuang masa, tetapi saya akan memberi kelulusan segera bagi perkara-perkara yang berfaedah termasuk hal kebajikan," katanya.

Mengenai dakwaan bahawa beliau belum bertemu jentera parti yang membawa kemenangan Barisan Nasional di Perlis pada pilihan raya umum ke-13 yang lalu, Azlan berkata perjumpaan telah diadakan dan akan terus diadakan.

Beliau turut menyampaikan sumbangan hasil derma syarikat dan individu kepada lebih 300 orang ibu tunggal, anak yatim, golongan kurang upaya dan penghuni rumah kebajikan di majlis itu.
 
Sumber : BERNAMA
 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...