GEORGE TOWN, 30 Jan – Projek perumahan kos rendah dan sederhana rendah oleh
kerajaan Pulau Pinang pimpinan DAP mengelirukan rakyat kerana harga yang
ditawarkan adalah di luar kemampuan.
Pengerusi Barisan Nasional (BN) negeri Teng Chang Yeow berkata unit rumah
seluas 1,000 kaki persegi ditawarkan pada harga siling RM400,000 itu adalah di
luar kemampuan bagi golongan berpendapatan kurang RM5,000 sebulan.
“Projek mampu milik dan perumahan rakyat oleh mana-mana kerajaan, keuntungan
bukannya matlamat kerana ia bukan syarikat pemaju swasta tetapi untuk memastikan
keperluan masyarakat dapat dipenuhi,” katanya.
Teng berkata demikian selepas menyampaikan insentif pelajar cemerlang PMR dan
Sijil Peperiksaan Bersatu (UEC) kepada 387 penerima di kawasan Timur Laut, di
sini hari ini.
Katanya kos pembinaan untuk rumah bertingkat adalah antara RM130 dan RM150
sekaki persegi dan tiada alasan untuk kerajaan negeri menawarkan harga siling
RM400,000 bagi rumah seluas 1,000 kaki persegi.
Teng berkata terdapat margin keuntungan yang besar jika rumah mampu milik
dijual pada harga siling RM400,000 dan kerajaan negeri seharusnya menawarkan
harga yang lebih rendah berbanding pemaju swasta.
“Ini menunjukkan kerajaan negeri pimpinan pakatan pembangkang tiada
keikhlasan dan usaha sebenar untuk membantu rakyat kerana mereka tidak mempunyai
dasar perumahan. Itulah sebabnya mereka tidak boleh menentukan harga,”
katanya.
Teng berkata projek perumahan itu turut akan menjarakkan lagi jurang
kehidupan dan sosial kerana dibimbangi ramai penduduk di kawasan pulau akan
pindah ke seberang berikutan harga siling yang dua kali ganda lebih murah.
Difahamkan harga siling RM220,000 ditawarkan untuk rumah mampu milik di Batu
Kawan untuk unit rumah yang sama luas dengan kawasan di pulau.
Sumber : UMNO Online
No comments:
Post a Comment