Wednesday 30 May 2012

Rakyat Perlu Selami Pengorbanan Dan Perjuangan UMNO





MARAN, 30 Mei – Segelintir rakyat yang terus menyalahkan UMNO dan Barisan Nasional (BN) diminta supaya mengenang kembali jasa dan pengorbanan parti itu dalam membina negara dan bangsa sehingga berjaya.

Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Tan Mohd. Aminuddin berkata, terdapat segelintir daripada mereka seolah-olah tidak boleh menerima kenyataan bahawa parti keramat UMNO telah membawa pembaharuan demi kesejahteraan rakyat. Sejak merdeka, Perdana Menteri yang pertama sehinggalah kini yang diterajui oleh Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak telah membawa pelbagai pembangunan demi negara.

“Sebab itulah orang Melayu perlu rasional dan tidak terpedaya dengan janji retorik pembangkang agar nasib anak cucu mereka tetap terbela tanpa merempat di negara sendiri. Kita lihatlah bagaimana statistik kemiskinan semakain menurun tahun demi tahun dalam menuju miskin sifar,” katanya.
Jelas beliau, dalam membina pembangunan yang baik, kebajikan rakyat tidak pernah diabaikan oleh kerajaan malah rakyat sentiasa didahulukan kerana rakyatlah pemangkin kemajuan sesebuah negara.
“Justeru, rakyat perlu bangkit dan agresif untuk mempertahankan hak daripada terus digugat pihak lain yang rakus untuk mendapat kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Berkelompok Cawangan UMNO Bahagian Maran di Dewan UMNO Pekan Tajau, di sini baru-baru ini.

Hadir sama, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Maran, Datuk Ismail Abdul Muttalib; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Luit, Datuk Ahmad Munawar Abdul Jalil; ADUN Kuala Sentol, Datuk Shahaniza Shamsuddin dan Ketua Wanita UMNO Pahang, Datuk Rosni Zahari.
Menurut Tan, sikap tunggu dan lihat perlu dikikis tetapi pada masa sama hendaklah bersatu dan bekerja bagi memenangi hati rakyat.

Beliau menyeru pemimpin UMNO di peringkat cawangan bekerja keras menyedarkan ahli masing-masing terhadap gerakan pembangkang untuk mengubah landskap politik negara.
“Gerakan itu sangat berbahaya kepada nasib dan kuasa politik bangsa Melayu pada masa depan yang selama ini telah banyak mendapat faedah daripada UMNO.

“Ahli UMNO perlu mempamerkan semangat sebenar menghadapi pilihan raya umum nanti kerana ia dianggap ibu segala pilihan raya yang akan menentukan nasib bangsa dan negara,” jelasnya.

Sumber : MediaUMNO



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...