Thursday 19 January 2012

Semua Inisiatif Terus Beri Faedah Dan Manfaat Kepada Rakyat


KUALA LUMPUR, 31 Dis  – Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yakin semua inisiatif kerajaan di bawah Dasar Transformasi Nasional, yang diumumkan sepanjang 2011, akan terus memberi faedah dan manfaat kepada rakyat.

Sambil menyatakan syukur kerana inisiatif berkenaan disambut baik rakyat, beliau berkata Program Transformasi Kerajaan dan Program Transformasi Ekonomi yang dilaksanakan dua tahun lepas telah menunjukkan hasil positif dalam menambah baik sistem penyampaian kerajaan dan memacu ekonomi negara.

 Beliau berkata Program Transformasi Luar Bandar dan Hala Tuju Transformasi Ekonomi Bumiputera yang dilancarkan tahun ini pula diyakini mampu merapatkan jurang ekonomi antara masyarakat bandar dan luar bandar serta antara kaum.

 Katanya kesemua ini adalah pelengkap kepada usaha untuk mewujudkan sebuah negara maju, makmur dan sejahtera.
 “Jutaan terima kasih kepada anda rakyat Malaysia yang telah memberikan sokongan padu kepada kerajaan dan bersama-sama kepimpinan negara dalam menjayakan agenda transformasi yang diterajui Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak,” katanya dalam perutusan Tahun Baru 2012 hari ini.

 Muhyiddin berkata selaras dengan gagasan 1Malaysia: Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, Najib semasa membentang Belanjawan 2012 telah menggariskan pelbagai inisiatif dalam membawa hala tuju negara.

 Ini termasuk pengenalan Bantuan Rakyat 1Malaysia, Bantuan Persekolahan RM100, Projek Perumahan Rakyat 1Malaysia dan Kedai Rakyat 1Malaysia, yang kesemuanya bertujuan meringankan beban hidup rakyat.
 Bagi anggota perkhidmatan awam, Timbalan Perdana Menteri berharap beberapa penambahbaikan yang telah dipersetujui antara kerajaan dan Kongres Kesatuan Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) berhubung pelaksanaan Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) dapat dijadikan bukti komitmen kerajaan dalam membela golongan tersebut.

 Justeru, beliau mahu anggota perkhidmatan awam berusaha dengan lebih gigih meningkatkan tahap kecekapan dan profesionalisme dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

 Muhyiddin, yang juga Menteri Pelajaran, turut menyatakan penghargaannya kepada guru-guru dan warga pendidikan yang memberikan sepenuh komitmen sehingga keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2011 mencatat keputusan lebih baik berbanding tahun sebelumnya.
 Ini, katanya sekaligus membuktikan bahawa usaha gigih guru-guru dalam melaksanakan Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) Pendidikan dan Program Pembangunan Sekolah telah menunjukkan hasil yang membanggakan.

 “Terima kasih juga kepada para ibu bapa yang amat mengambil berat tentang pendidikan anak-anak dan memberikan sokongan padu kepada kerajaan dalam meningkatkan mutu pendidikan,” katanya.

 Muhyiddin turut mengajak rakyat memulakan tahun baru dengan terus mengamalkan perpaduan, hormat menghormati antara kaum dan mengukuhkan kerjasama antara satu sama lain, bersesuaian dengan semangat 1Malaysia.
 Masyarakat tidak harus memandang mudah perpaduan yang dikecapi kerana tanpa usaha dan persefahaman antara rakyat berbilang kaum dan agama, ia tidak akan tercapai, katanya.

 Rakyat juga harus berbangga kerana keistimewaan Malaysia yang berupaya mengekalkan serta mengukuhkan kemerdekaan dan keharmonian di kalangan penduduk pelbagai agama, bangsa dan budaya.

 “Marilah kita sama-sama mengukuhkan yang sedia utuh, merapatkan yang renggang dan meningkatkan persefahaman antara satu sama lain kerana sesungguhnya perpaduan dan keamanan yang dibina di atas semangat persefahaman dan penerimaan antara kaum adalah prasyarat utama untuk negara terus berkembang maju,” katanya.



No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...