Wednesday 7 September 2011

Kelab UMNO Luar Negara bukan parti politik


KUALA LUMPUR 1 Sept. - Pelajar-pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran di luar negara disaran supaya menjadikan Kelab UMNO Luar Negara sebagai platform bagi mereka mendapatkan pelbagai bantuan dan maklumat ketika berada di perantauan.
Pengerusi Kelab UMNO Luar Negara, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, ini kerana, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) itu bukan bergerak atas nama politik sebaliknya sebagai NGO yang bersedia membantu pelajar-pelajar dari Malaysia dalam pelbagai perkara.
"Kelab UMNO Luar Negara walaupun namanya ada kaitan dengan UMNO tetapi ia bukan berpaksikan kepada parti politik itu. Ia juga bukan seperti cawangan UMNO yang hanya mahu berpolitik. Ia tidak ada kena-mengena dengan itu.
"Sebaliknya, ahli-ahli Kelab UMNO Luar Negara bergerak tanpa sebarang gaji, menyediakan saluran bantuan kepada rakyat Malaysia di luar negara terutama kepada pelajar," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Ahmad Shabery berkata, Kelab UMNO Luar Negara sebenarnya telah ditubuhkan oleh mereka yang memahami sejarah kewujudan UMNO.
"Malah, kelab itu sedia membantu bukan sahaja orang Melayu tetapi juga kaum-kaum lain asalkan mereka adalah rakyat Malaysia," katanya.
Katanya, Kelab UMNO Luar Negara menjadi tempat perhubungan secara tidak rasmi kepada pelajar-pelajar Malaysia di luar negara memandangkan jangkauan Jabatan Pelajar Malaysia (MSD) adalah terhad bagi membantu mereka yang berkenaan.
"Jadi, saya harap semua pelajar Malaysia tidak keberatan untuk mendekati Kelab UMNO Luar Negara bagi mendapatkan apa juga bantuan. Kami sedia menjadi penghubung antara mereka dengan kerajaan," katanya.
Beliau berkata, Kelab UMNO Luar Negara kini ditubuhkan di banyak negara yang mempunyai pelajar-pelajar Malaysia seperti di Indonesia, Rusia, United Kingdom, Amerika Syarikat (AS) dan banyak lagi.

Sumber : Utusan Malaysia 2 Sept 2011

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...