Sunday 1 December 2013

Program KULN Jadi Komponen Penting Dalam Perhimpunan Agung UMNO 2013



KUALA LUMPUR, 1 Dis – Pengerusi Biro Hal Ehwal Luar Negara dan Kelab UMNO Luar Negara (KULN), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata penyertaan seramai 150 orang kepimpinan mahasiswa dalam dan luar negara ke Persidangan Mahasiswa Nasional (Pemanas) sempena Perhimpunan Agung UMNO adalah sesuatu yang amat bermakna di kalangan pelajar kerana ianya menjadi sebahagian daripada sistem Perhimpunan Agung UMNO itu sendiri.

Jelasnya, program sebegini adalah satu komponen penting untuk suara anak muda didengar, ditapis dan dilihat oleh kepimpinan tertinggi UMNO serta menerapkan kewajarannya untuk UMNO melangkah terus ke hadapan.

“UMNO telah melalui satu transformasi besar sebagaimana yang kita lalui dan praktikkan dalam sistem pemilihan baru-baru ini. Kita menyerahkan masa hadapan UMNO kepada rakyat.

“Malah UMNO juga melalui transformasi, lebih sensitif kepada kemahuan anak-anak muda. Saya rasa tiada parti lain yang menyediakan platform sebegini besar kepada anak-anak muda secara formal. Dahulunya hanya melalui sayap-sayap tetapi kali ini melalui satu lagi institusi yang dianggap besar iaitu di kalangan mahasiswa.

“Kita mahu dengar apa yang patut kita buat. Jika selama ini kita buat tentang anak muda hanya melalui apa yang kami fikir baik tetapi sekarang kita mahu anak muda itu sendiri beritahu apa yang patut kita buat untuk diri mereka.

“Inilah satu proses mencari suatu konsep yang lebih bermakna untuk UMNO melangkah jauh ke hadapan,” jelasnya dalam sidang media selepas memberi ucaptama Majlis Persidangan Kelam UMNO Luar Negara di PWTC hari ini.

Dalam ucapannya pula Shabery berkata, UMNO adalah sebuah parti yang unik dan menjadi peneraju kepada Barisan Nasional (BN) yang menjadi pengikat kepada 14 parti lain.

Jelas beliau sistem pengkerajaan sediada di negara ini digerakkan oleh parti politik dan sejak dahulu lagi BN lah yang telah diberi mandat oleh rakyat untuk meneraju negara.

Oleh itu tambah beliau lagi, UMNO selaku tulang belakang kepada BN dan kerajaan sentiasa melakukan yang terbaik agar UMNO itu sendiri terus relevan dan dipercayai rakyat.

“Sebab itu salah satunya kita memberi perhatian khas kepada golongan mahasiswa iaitu golongan bakal pemimpin negara. Melalui Perhimpunan Agung UMNO ini kita memberi pengiktirafan kepada mahasiswa. Suara mereka kita dengar,” ujarnya lagi.

Persidangan KULN pada kali ini berkonsepkan ala persidangan Parlimen dan Jawatankuasa Pilihan Khas. Pesertanya terdiri daripada 75 orang wakil KULN dan 75 orang daripada mahasiswa dalam negara.

Peserta akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dan bakal membincangkan salah satu tajuk daripada empat tajuk utama iaitu politik, ekonomi, agama dan pendidikan.
Melalui persidangan ini juga, jurucakap bagi perwakilan mahasiswa akan dipilih untuk bercakap di Perhimpunan Agung UMNO.



Sumber : MediaUMNO

No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...