Monday 28 October 2013

Bajet RM50 juta bukti keprihatinan

 
 
YAN - Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom berkata, peruntukan RM50 juta untuk Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK) dan Sekolah Agama Rakyat (SAR) dalam Bajet 2014 membuktikan keprihatinan kerajaan untuk membangunkan dan memajukan sekolah berkenaan.
 
Beliau berkata sekolah agama khususnya SAR banyak terdapat di Kedah, Kelantan dan Terengganu.
 
"Di Kedah, kita ada sekurang-kurangnya 12 buah SAR yang bukan di bawah SABK yang merupakan sekolah arus perdana, dan masih lagi berada pada tahap yang berbeza di sudut skim guru, bantuan, peralatan dan kemudahan asas yang lain," katanya.
 
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Ramah Mesra Bersama Waris Murid-murid Sekolah Pelaksanaan Program J-Qaf, di sini hari ini.
 
Mengenai program J-Qaf (Jawi, Al-Quran, bahasa Arab dan Fardu Ain), Jamil Khir berkata program itu telah berjaya memberikan impak kepada pelajar, bukan sahaja dari segi pemahaman dalam aspek Jawi, al-Quran, bahasa Arab dan fardu ain malah aktiviti kokurikulum.
 
Beliau berkata program J-Qaf juga menjadi nilai tambah kepada pelajar untuk menguasai pelbagai bahasa iaitu bahasa Melayu, bahasa Inggeris dan bahasa Arab.
 


No comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...