KUALA LUMPUR - Petronas hari ini menjelaskan mengenai tanggapan salah
sebilangan rakyat bahawa Malaysia dapat mengeluarkan produk petroleum yang lebih
murah seperti gasoline dan diesel jika ia mengeluarkan dan menggunakan sendiri
minyak mentah.
Bagaimanapun, perbadanan minyak negara itu berkata, minyak mentah Tapis blend
yang ditemui di perairan Malaysia, merupakan bahan mentah yang sangat mahal.
Oleh itu, dengan mengeksport minyak Tapis blend dan mengimport minyak kurang
berkualiti untuk penggunaan dalam negara, Malaysia meraih manfaat lebih besar
daripada sumber minyak mentah semula jadinya, dan pada masa yang sama memastikan
jaminan tenaga untuk penggunaan domestik.
Petronas, dalam satu kenyataan malam ini mengulas mengenai rasionalisasi
subsidi kerajaan baru-baru ini yang telah menimbulkan kebimbangan dan tanggapan
salah sebilangan rakyat.
Sebilangan rakyat berpendapat, rakyat sepatutnya menikmati produk petroleum,
terutama gasolin dan diesel, pada harga minimum selari dengan status negara
sebagai negara pengeluar minyak, katanya.
Ini bertentangan dengan negara seperti Arab Saudi dan negara Timur Tengah
yang menghasilkan minyak mentah murah dalam kuantiti yang besar.
Minyak Tapis blend mencatat premium tinggi berbanding minyak biasa pada harga
premium AS$122.96 setong pada 30 Ogos, 2013, berbanding minyak mentah yang biasa
dijual iaitu minyak Brent blend pada AS$115.38 pada hari yang sama.
Petronas berkata, harga runcit semasa produk petroleum di pam di Malaysia
tidak menggambarkan kos sebenar pengeluaran komoditi itu memandangkan ia tidak
menunjukkan perubahan kos minyak mentah.
Ini disebabkan perbezaan dan impak perubahan minyak mentah sudah diserap oleh
subsidi besar kerajaan.
Harga minyak mentah kini semakin meningkat berikutan ketidaktentuan politik
dan keselamatan di Timur tengah seperti Mesir dan Syria.
"Bagaimanapun, harga runcit gasoline dan diesel di Malaysia tidak berubah
kerana di subsidi oleh kerajaan.
"Subsidi besar merupakan perbelanjaan yang tidak berkekalan dalam jangka
panjang, selain itu ia menyebabkan penggunaan tenaga tidak berhemat dan tidak
cekap," kata Petronas.
Sumber : Kosmo
No comments:
Post a Comment