YAN, 20 Dis – Kerajaan pusat sentiasa komited dan bersedia membantu
meningkatkan mutu pelajaran di Sekolah Agama Rakyat (SAR) melalui pelbagai
bentuk bantuan, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Timbalan Perdana Menteri berkata tiada yang lebih penting kepada kerajaan
pusat selain untuk melihat anak-anak bangsa dalam sistem SAR tidak tercicir
daripada sistem pendidikan kebangsaan.
“Kerajaan pusat menawarkan peluang kepada SAR menjadi Sekolah Agama Bantuan
Kerajaan (SABK).
“Harus ada kerjasama yang erat… bukan tujuan kerajaan pusat untuk mengambil
alih SAR,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pertemuan dengan
kepimpinan SAR dan Pondok Tahfiz seluruh Kedah di Sekolah Menengah Agama
Taufikiah Khairiah Alhalimiah, Padang Lumat di sini hari ini.
Muhyiddin berkata tanggungjawab mendidik anak bangsa merupakan fardu kifayah
yang mesti ditunaikan sebaik-baiknya dan penting untuk memastikan pendidikan
yang berkualiti disampaikan melalui sistem yang tersusun serta rapi.
Katanya malang bagi negara yang mendukung prinsip Islamiah jika tidak ada
pendidikan agama yang betul-betul berkualiti.
“Kalau ada yang cakap kerajaan pusat abaikan prinsip untuk tegakkan syiar
Islam, itu adalah fitnah dan penafian hakikat tentang apa yang kita ada,”
katanya.
Sehubungan itu, beliau berharap agar pengasas SAR yang belum menerima untuk
menjadi SABK memikirkan semula tawaran kerajaan itu demi mengekalkan warisan
pendidikan berteraskan agama.
Pada majlis itu, Muhyiddin mengumumkan peruntukan sebanyak RM50,000 kepada 12
SAR dan RM20,000 bagi tujuh pondok tahfiz di Kedah.
Sumber :
MediaUMNO
No comments:
Post a Comment